Semakan status permohonan boleh dibuat pada portal rasmi Geran Khas Prihatin bermula pada 24 Mac ini.
Sepertimana yang telah diumumkan pada Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia PERMAI sebelum ini, Kerajaan akan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 800,000 peniaga kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM1,000.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan telah mengumumkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan kepada PKS mikro di 12 negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada bulan Januari dan Februari 2021 serta RM500 kepada PKS mikro di negeri bukan PKP.
"GKP Tambahan ini bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan wabak Covid-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan PKS mikro.
"Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM3.58 bilion," katanya.
Sumber Berita: Harian Metro